REMBAU: Penduduk di Rumah Rakyat Kota di sini, memohon pihak bertanggungjawab untuk segera membaik pulih simen saluran kumbahan yang runtuh di laluan belakang rumah mereka sejak Isnin lalu.
Ariffin Shamsudin, 57, berkata, sebaik menyedari berlaku runtuhan tersebut, dia telah memasang tali laluan itu bagi memberi amaran agar tiada penduduk yang melalui kawasan berkenaan.
Bagaimanapun menurutnya, apa yang dibimbangi ketika ini adalah sekiranya ada kanak-kanak yang bermain di tempat itu dan mereka tidak menyedari terdapat bahaya yang menanti.
“Saluran kumbahan ini agak dalam iaitu hampir dua meter dan lebarnya pula lebih tiga meter. Memang sangat berbahaya buat kanak-kanak jika terjatuh ke dalamnya.
“Masalah lain pula adalah daripada segi bau serta kedudukan saluran kumbahan ini yang dekat dengan bahagian dapur rumah penduduk. Jika tidak dibaiki segera, mungkin bahagian belakang rumah juga boleh runtuh,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Rembau (MDR), Mohamad Najib Mustafa berkata, pihaknya akan turun padang ke lokasi yang diadukan penduduk bagi melihat keadaan saluran kumbahan berkenaan.
“Tindakan bersesuaian akan diambil selepas tinjauan ke lokasi dibuat,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE