JOHOR BAHRU: Juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa masuk seorang lagi pemain import, Moussa Sidibe bagi memperkuat jentera pasukan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia dan Liga Juara-juara Asia (ACL) musim ini.
Pengenalan pemain kelahiran Mali itu dimaklumkan menerusi klip video yang dimuat naik di Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers, tengah malam tadi.
Menerusi klip video tersebut memaparkan pemain sayap yang memiliki kerakyatan Sepanyol itu menyertai skuad Harimau Selatan yang menjalani siri perlawanan persahabatan pra-musim di Dubai, Emeriyah Arab Bersatu.
Kehadiran Sidibé itu yang mengenakan kit latihan JDT disambut oleh Ketua jurulatih, Benjamin Mora sebelum menjalankan latihan bersama pasukan.
Jendela perpindahan ini cukup sibuk buat JDT yang rancak memperkemaskan pasukan dengan membawa masuk empat pemain import, seorang pemain berdarah kacukan dan seorang pemain tempatan.
Pemain berusia 27 tahun itu yang menyertai JDT dari pasukan Liga dua di Sepanyol dilihat bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Gonzalo Cabrera yang telah meninggalkan kelab sebelum ini.
Sebelum Sidibe diperkenalkan, JDT sudah menandatangani dua pamain kelahiran Sepanyol iaitu Bienvenido Maranon dan Carli De Murga serta pemain kelahiran Argentina, Fernando Forestieri.
JDT akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Spartak Moscow, Rodina Moscow, MSK Zilina dan Riga FC.