KUANTAN: Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Abdul Wahab Mohamad Ali meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Allahyarham yang berusia 61 tahun itu meninggal dunia pukul 5.42 petang difahamkan akibat kanser darah.
Abdul Wahab merupakan Setiausaha Akhbar kepada tiga orang Menteri Besar di negeri ini bermula bekas Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob.
Selepas itu, Allahyarham berkhidmat di bawah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan meneruskan tugas itu ketika pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Abdul Wahab cukup dihormati dalam kalangan pengamal media di negeri ini kerana sikapnya sebagai seorang Setiausaha Akhbar yang mesra media.