KOTA BHARU: Polis berjaya menahan seorang tukang paip yang disyaki mendalangi kegiatan mencuri meter air dan peralatan paip di sekitar daerah ini sejak setahun lalu.
Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan dalam serbuan di rumahnya di Jalan Post Office Lama, di sini, kira-kira pukul 4.30 petang semalam
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, serbuan dilakukan selepas menerima laporan dibuat oleh pengguna dan pihak Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB).
Katanya, hasil pemeriksaan di rumah suspek, polis turut merampas meter air, pelbagai peralatan paip dipercayai hasil curi serta sebuah motosikal jenis Honda EX5.
“Soal siasat terhadap suspek yang bekerja sebagai tukang paip, dia mengaku melakukan kegiatan mencuri meter dan peralatan paip.
“Kesemua peralatan dicuri itu digunakan untuk membaik pulih paip atau dijual di kedai barang lusuh,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.
Menurut Shafien, semakan rekod lampau, mendapati suspek mempunyai tiga rekod berkaitan dengan dadah, selain positif dadah jenis Methamphetamine.
Suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya. -UTUSAN ONLINE