PASIR MAS: Polis menahan empat lelaki dipercayai tekong darat serta 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang bersembunyi dalam sebuah inap desa di Kampung Cherang Hangus di sini awal pagi ini.
Kesemua tekong dan PATI yang berusia dalam lingkungan 22 hingga 24 tahun itu ditahan dalam tiga lokasi berasingan, masing-masing pada pukul 12.10 tengah malam, 1.20 pagi dan 2.40 pagi.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, pada mulanya, polis menahan dua lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Waja bernombor pendaftaran palsu di Kampung Repek.
Katanya, selepas soal siasat, mereka berdua mengaku menyembunyikan 18 lelaki dan enam wanita warga Myanmar di sebuah inap desa di Kampung Cherang Hangus.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis membuat serbuan ke atas inap desa tersebut pada pukul 1.20 pagi dan berjaya menjumpai kesemua PATI yang bersembunyi di situ,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Nasaruddin, susulan serbuan itu, polis menjalankan satu lagi serbuan di sebuah rumah di Jalan Lubok Stol, Rantau Panjang, di sini pada pukul 2.40 pagi dan berjaya menahan seorang lagi tekong darat.
Katanya, penahanan suspek itu membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Apik yang dipercayai menjadi dalang utama aktiviti menyeludup masuk PATI ke negara ini. – UTUSAN