PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon terkenal, Azza atau nama penuhnya Noor Azzarima Zawari berpendapat rakan artis perlu semak hati sendiri terlebih dahulu jika merasakan ada yang cemburu dengan apa yang dimiliki.
Katanya, di sepanjang karier sebagai penyanyi dan pelakon dia tidak pernah berdepan dengan situasi tersebut kerana bersikap positif.
“Alhamdulillah untuk saya, sejak zaman kegemilangan Elite lagi tiada yang berlaku seumpama itu. Kalau fikir negatif pasal orang, tidak akan ke mana pun. Lagi pun, industri kita kecil saja.
“Jadi, semaklah hati kalau rasa orang dengki dengan kita. Perkara itu sebenarnya akan makan diri walaupun benda itu tidak berlaku.
“Kalau ada pun yang betul cemburu dan dengki, kita jauhkan diri kita daripada orang berkenaan. Tidak membenci, tetapi sekadar mengelak,” ujarnya.
Nasihat penyanyi Trauma dan Tamparan Wanita itu, tanamkan sikap berbaik sangka dan merendah diri.
“Terkadang tidak sedar apa yang kita muat naik dalam media sosial. Adakalanya, kejayaan yang kita tunjuk membuatkan orang lain cemburu.
“Tapi fikirkanlah kenapa mereka cemburu? Merendah dirilah… ajaklah mereka, jangan ada perasaan tidak seronok.
“Tidak menafikan pencapaian orang lain nampak seronok. Tapi mungkin itu bukan perasaan dengki.
“Ubah, tukar doa kita kepada Allah supaya dapat apa yang kawan kita rasa. Jangan dengki dekat orang, daripada cemburu, kuatlah berdoa untuk berjaya,” katanya.