LAMPUNG: Identiti perompak yang membunuh seorang pegawai Agensi Perbankan Republik Indonesia (BRI Link Way) di Bungur, akhirnya terbongkar selepas penemuan selipar Jepun berwarna hijau di lokasi kejadian.
Lapor Kompas.com, Ketua Polis Lampung Timur, Zaky Alkazar Nasution berkata, suspek dikenali sebagai AF, 33, berjaya melarikan diri selepas melakukan rompakan tersebut.
Jelasnya, pihak polis hampir buntu disebabkan tiada kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang berdekatan bank tersebut.
“Keadaan bertambah rumit apabila kejadian rompakan berlaku ketika hujan lebat melanda kawasan itu,” katanya.
Namun, Zaky berkata, perompak meninggalkan beberapa jejak yang memberi petunjuk kepada pihak polis menjalankan penyiasatan.
Katanya, ada saksi yang tampil memberitahu terlihat suspek membeli air kelapa sebelum rompakan tersebut.
“Dari saksi itu, kita dapat maklumat mengenai lokasi rumah yang didakwa menjadi tempat persinggahan pelaku sepanjang berada di Tegal Ombo di Lampung Timur.
“Di rumah kosong itu, kita berjaya menemukan selipar Jepun sebelah kanan yang berlumuran lumpur,” katanya.
21 Januari lalu, pegawai bank BRI Link, Leli Agustin, 20, maut selepas ditembak sebanyak dua kali oleh perompak tersebut.
Mangsa baru bekerja selama 15 hari di bank tersebut selepas menamatkan pengajian di universiti.