KUALA LUMPUR: Baru diduga kehilangan rumah akibat banjir, pelakon Ebby Yus sekali lagi diuji apabila disahkan menghidapi masalah bengkak pada organ jantungnya.
Mengesahkan perkara tersebut, Ebby memberitahu dia hanya mengetahui kondisinya itu selepas dimasukkan ke hospital akibat sakit perut yang kronik sekitar Disember lalu.
“Saya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur sekitar pukul 5 pagi dengan menaiki ambulans gara-gara sakit perut yang kronik. Awalnya doktor mengesyaki penyakit denggi atau kencing tikus. Tetapi Alhamdulillah, tidak.
“Kata doktor berdasarkan ujian X-ray, terdapat air dalam paru-paru saya. Justeru dia melanjutkan tempoh penahanan saya di hospital untuk pemeriksaan lebih mendalam.
“Namun, saya bersyukur selepas pemeriksaan kedua, keadaan paru-paru tidak teruk dan tidak memerlukan prosedur lanjut untuk mengeluarkan air. Cuma doktor mendapati jantung saya bengkak,” katanya.
Kata Ebby buat masa ini keadaannya stabil dan hanya berehat di rumah sementara menunggu janji temu hospital yang dijadualkan sekitar minggu hadapan.
“Masalah ini membuatkan badan saya lemah dan menghadkan keupayaan saya. Doktor memberi ubat-ubatan yang perlu sementara menunggu temu janji seterusnya nanti.
“Saya terpaksa bekerja memandangkan tidak mempunyai pendapatan tetap. Tetapi tidaklah melakukan kerja berat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ebby memaklumkan dia tidak lagi ditahan di hospital seperti yang dianggap ramai pihak.
Katanya perkara itu perlu dimaklumkan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakan dan ahli keluarga terdekat.
“Saya bersyukur atas doa semua. Dengan izin Allah, saya masih okay dan sihat.
“Cuma buat masa ini saya perlu teruskan temu janji dengan doktor untuk memantau keadaan kesihatan saya dari semasa ke semasa,” jelasnya.