Sejam pujuk pelajar Orang Asli ke sekolah - Utusan Malaysia

Sejam pujuk pelajar Orang Asli ke sekolah

PELAJAR Orang Asli dibawa menaiki kenderaan bagi memulakan sesi persekolahan di Gua Musang, Kelantan hari ini. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Selepas sejam dipujuk, seramai 77 pelajar Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Tohoi di sini berjaya dibawa keluar menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi memulakan sesi persekolahan hari ini.

Usaha Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bersama pemimpin kampung serta kontraktor pengangkutan pelajar Orang Asli itu bukan sekadar memujuk pelajar, malah perlu meyakinkan ibu bapa mereka yang khuatir dengan penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Tohoi, Ajeh Baharom, 48, berkata, ada dalam kalangan ibu bapa sudah hampir setahun tidak membenarkan anak mereka ke sekolah.

Katanya, namun selepas dipujuk sejak awal pagi ini, golongan ibu bapa terbabit akhirnya membenarkan anak mereka kembali ke sekolah dan tinggal di asrama.

“Harapan saya sebagai pemimpin masyarakat dan ibu bapa sendiri agar pihak sekolah dan guru dapat menjaga anak kami sebaik mungkin.

“Kami tidak mahu anak terus tercicir dalam pelajaran kerana sudah lama mereka berada di kampung dan belajar sendirian,” katanya ketika ditemui pemberita di Pos Tohoi di sini hari ini.

Suri rumah, Salmah Jaber, 58, berkata, dua orang anaknya berusia 14 dan 17 tahun akan memulakan sesi bersemuka hari ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SK) Panggung Jaya, kira-kira 40 kilometer dari Pos Tohoi.

“Kita suka anak sekolah dan berdoa supaya anak-anak tidak dijangkiti Covid-19. Sekiranya berlaku kejadian tidak diingini terhadap anak, pihak sekolah perlu segera maklum kepada kami,” katanya.

Sementara itu, kontraktor pengangkutan pelajar Orang Asli, Mohd. Kamarudin Awang, 47, berkata, mereka berdepan cabaran mengambil pelajar Orang Asli apabila perlu melalui jalan balak yang licin akibat cuaca hujan.

Katanya, pelajar yang berjaya dibawa keluar dari kampung hari ini merupakan pelajar tingkatan 1 hingga 5 yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya dan SMK Tengku Indra Petra.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya