TAMPIN: Sebanyak dua buah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini dibuka menjadikan keseluruhan sebanyak lapan buah PPS yang beroperasi khususnya di kawasan Gemas bagi menempatkan mangsa yang terjejas banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Suhaiza Sharudin berkata, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemas telah dibuka untuk pemindahan penduduk dari Taman Sungai Gemas.
Jelas beliau, penduduk di taman perumahan tersebut sedang bersedia untuk dipindahkan atas faktor keselamatan dengan bacaan paras air sungai di tahap bahaya.
Menurutnya, sehingga pagi tadi lapan PPS masih dibuka dengan jumlah keluarga sebanyak 404 dan mangsa seramai 1,431 orang.
“Terdapat pertambahan mangsa banjir di PPS Dewan Besar Gemas dan Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Kelamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Negeri Sembilan, setakat pukul 8 pagi tadi, seramai 1,639 mangsa banjir dari tiga buah daerah iaitu Tampin, Kuala Pilah dan Jempol telah dipindahkan di PPS yang telah dibuka. -UTUSAN ONLINE