PETALING JAYA: Penyanyi dan peserta Gegar Vaganza 8 (GV8), Adibah Noor mengakui penyampaian lagu Berdiri Bulu Romaku nyanyian penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang pada malam kelmarin, kurang memuaskan.
Perkara tersebut dikongsikan penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu dengan coretan panjang menerusi entri Instagram miliknya.
“Tiada apa yang salah dengan elemen dikir barat. Yang tersasar teruk adalah interpretasi dan cara saya menyanyi.
“Memang sampah! Saya melihat semula pun tepuk dahi kenapa saya buat macam itu,” katanya di Instagram.
Bagaimanapun, dia menitipkan rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk terus beraksi di konsert GV8 pada minggu seterusnya.
“Alhamdulillah, masih ada peluang buat saya. InsyaAllah.
“Terima kasih atas maklum balas, kasih sayang dan semangat yang kalian titipkan. Jumpa ahad ini okey?” coretnya.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, perkongsian berkenaan menerima pelbagai reaksi daripada para netizen.
“Kreatif sangat kak buat dikir barat semalam (kelmarin), terbaik. Tetap sokong kak Adibah, kita comeback minggu hadapan,” komen seorang peminatnya.
“Dari telinga saya yang dikurniakan, tidak rasa sampah pun. Tapi saya terus fikir wow berani. Sudah jadi lagu dia sepenuhnya. Banyak sahaja lagu sedap yang diubah tetapi semua okey sahaja,” komen lagi peminatnya.
“Harap kak Dib tidak ulang dan mengambil peluang untuk membuktikan kewibawaan kakak,” komen lagi seorang peminatnya.
Sekadar informasi, Adibah menerima markah sebanyak 56.7 peratus sekali gus berada di kedudukan ketiga terbawah.