‘Saya bukan kroni Mahathir’ - Mohd. Shafie - Utusan Malaysia

‘Saya bukan kroni Mahathir’ – Mohd. Shafie

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menolak dakwaan pihak tertentu yang menyatakan beliau sebagai kroni Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mohd. Shafie berkata, semasa menjadi Naib Presiden UMNO dahulu, beliau menyokong semua kepimpinan parti sama ada Dr. Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Abdullah Ahmad Badawi mahupun Datuk Seri Najib Tun Razak.

Namun, itu bukan bermakna beliau kroni mana-mana pihak.

“Saya pernah berada dalam UMNO bersama-sama pemimpin parti tapi, tidak bermakna kita perlu patuh kepada segala tindakan mereka.

“Ini yang menyebabkan saya keluar daripada UMNO pada 2016 dan menubuhkan Warisan dan kemudian bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada 2018,” katanya selepas mesyuarat bersama pemimpin Warisan cawangan Limbahau semalam.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, beliau agak kecewa apabila dikaitkan sebagai kroni Dr. Mahathir.

Menurutnya, beliau pernah berselisih pendapat dengan bekas Perdana Menteri itu ketika Dr. Mahathir membawa masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Sabah pada 2019.

Walau bagaimanapun, bantahan dibuat oleh Warisan tidak diendahkan dan Bersatu berjaya melebarkan sayap ke Sabah. Situasi itu membawa kepada pertelingkahan yang besar.

“Jadi, macam mana orang boleh mengatakan saya kroni (Dr. Mahathir) sedangkan saya menentang kemasukan Bersatu ke Sabah sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu Senallang mahu parti pembangkang mengambil pengajaran situasi yang berlaku di Johor hingga menyebabkan 1,000 ahli DAP keluar parti dan menyertai Bersatu.

Mohd. Shafie berkata, parti pembangkang harus membenarkan ahli-ahli mereka menyertai parti lain dalam blok pembangkang bagi mengelakkan ahli-ahli parti menyertai parti kerajaan.

Mengulas lanjut katanya, beberapa nama besar akan menyertai Warisan di Semenanjung namun, nama-nama itu akan diumumkan apabila masanya telah tiba. 

Lawatan ke cawangan Limbahau mendapat sambutan ahli-ahli di peringkat akar umbi biarpun ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim keluar meninggalkan parti bersama-sama dengan ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony pada bulan lepas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya