'Saya akan cuba' - Zizie Izette - Utusan Malaysia

‘Saya akan cuba’ – Zizie Izette

BUNG Moktar Radin dan Zizie Izette A. Samad ketika perbicaraan atas pertuduhan rasuah melibatkan pelaburan unit amanah dalam Felcra. -  UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang perunding unit amanah memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, beliau pernah menyuarakan hasrat kepada Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk membentangkan kertas cadangan pelaburan unit amanah Public Mutual kepada Lembaga Pengarah Felcra.

Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, berkata, hasrat itu disampaikan dalam satu pertemuan di sebuah hotel sekitar tahun 2015 yang turut dihadiri oleh isteri Ahli Parlimen Kinabatangan itu, Datin Seri Zizie Izette A. Samad yang juga kenalannya.

Beliau yang ketika itu bertugas sebagai ejen pelaburan Public Mutual Berhad berkata, pertemuan singkat itu juga disertai oleh rakan setugas Madhi Abdul Hamid, 43, yang turut membawa Kertas Cadangan Celik Pelaburan untuk dibentangkan kepada Lembaga Pengarah Felcra.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-25 itu berkata, dalam pertemuan tersebut Bung Moktar yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra tidak memberikan sebarang maklum balas kerana beliau bergegas untuk menunaikan solat Zohor.

“Kami tidak sempat membentangkan kertas cadangan tersebut kerana Datuk Seri Bung Moktar hendak cepat menunaikan solat Zohor,” ujarnya pada sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sophian Zakaria.

Menurut Norhaili, oleh kerana gagal mendapat maklum balas Bung Moktar, beliau menyampaikan hasrat mereka kepada Zizie Izette dan dibalas oleh pelakon itu `saya akan cuba’.

Ujar saksi, pertemuan itu hanya berlangsung kurang daripada 10 minit kerana beliau (saksi) mempunyai janji temu lain pada hari tersebut.

Saksi turut berkata, beliau kemudian menghubungi rakannya yang dikenali sebagai Nik Juliana untuk meminta pertolongan agar satu pertemuan lain dengan Bung Moktar diatur untuk membentangkan kertas cadangan tersebut.

Terdahulu Norhaili berkata, beliau mula mengenai Zizie Izette sebagai selebriti dan isteri Ahli Parlimen Kinabatangan pada 2013 melalui Nik Juliana.

Ujarnya, sebelum mengenali Zizie Izette, beliau terlebih dahulu mengkaji peluang untuk meneroka pelaburan unit amanah dalam Felcra sebelum menyampaikan hasrat itu kepada pelakon tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung esok.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, selaku Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Tertuduh juga didakwa menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya