PUTRAJAYA: Lanun cetak rompak filem dalam talian diberi amaran yang mereka kini mampu dijejaki seawal empat jam sahaja sebaik sahaja kandungan itu dimuat naik dalam medium internet.
Peringatan itu disuarakan oleh Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Azman Adam ke atas penjenayah siber tersebut.
“Setakat ini paling lama maksimum 48 jam, namun kita juga pernah dapat kesan cepat sekitar empat jam sebelum bertindak sekat atau padam kandungan itu,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Aspirasi Tahun Baharu 2022 dengan penyampaian ucapan amanat oleh menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di kementerian itu hari ini.
Terdahulu, beliau menyaksikan Pelancaran Program Cyber Copyright Enforcement (CyCore) yang diwujudkan bahagian tersebut bagi membanteras jenayah pelanggaran hak cipta digital.
Ia mendapat kerjasama daripada lebih 50 rakan strategik termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), platform e-dagang serta pihak penyedia perkhidmatan internet (ISP).
Mengulas lanjut, Azman berkata, tempoh sehingga 48 jam itu adalah masa paling lama susulan pihaknya perlu mencari bukti terlebih dahulu selepas dimaklumkan oleh pemilik hak cipta.
“Kami perlu semak dengan SKMM, ISP dan sebagainya yang boleh menyebabkan berlaku kelewatan sedikit, tetapi dijamin tidak boleh lebih daripada had masa ditetapkan itu,” tegasnya.
CyCore ujarnya, sudah melalui banyak siri pengujian sepanjang tahun lalu bersama pemilik yang menyertainya dengan 298 laman sesawang telah disekat dan 1,418 kandungan dipadam.
Program baharu itu juga katanya, memberi tunjuk ajar dan pemahaman kepada pemilik hak cipta untuk melaporkan pelanggaran kepada wadah media sosial serta e-dagang yang terlibat.
Penyedia platform tersebut jelasnya, memang ada polisi harta intelek tersendiri yang akan sedia bekerjasama membantu pemiliknya untuk segera membuang kandungan cetak rompak.
Selain itu, pihak kementerian juga melakukan profil jenayah pihak disyaki aktif kesalahan digital tersebut di bawah Akta Hak Cipta 1987 agar tindakan tegas dapat diambil kepada mereka.
“Justeru, kami harap kerjasama kerana jika maklumat lengkap dan alamat ISP dalam negara, ia lebih mudah dikesan tetapi jika lambat, pautan itu sudah dikongsi banyak pihak,” katanya.
Bagaimanapun, sekiranya ‘lanun’ itu dikesan, ia boleh didakwa dan sabit kesalahan akan didenda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Azman turut menyeru penerbit cereka tempatan agar mengambil peluang menyertai program CyCore yang membolehkan kandungan disiar secara digital tanpa bimbang dicetak rompak.
Langkah itu akan menolong dalam mengurangkan kerugian ditanggung apabila karya mereka disalin pihak tidak bertanggungjawab yang mengaut keuntungan hasil kreativiti orang lain.
Pemilik yang berminat menyertai program ini diminta menghubungi Unit Hak Cipta dan Cakera Optik, Bahagian Penguat Kuasa di talian 03-88826157 atau e-mel [email protected] UTUSAN ONLINE