Sarjan trafik didakwa terima suapan RM11,600  - Utusan Malaysia

Sarjan trafik didakwa terima suapan RM11,600 

ABDUL Ghafa Harun (dua kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan, Pahang atas 42 pertuduhan berkaitan rasuah. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang anggota polis berpangkat sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas 42 pertuduhan menerima rasuah daripada dua individu dengan jumlah keseluruhan RM11,600.

Tertuduh, Abdul Ghafa Harun, 57, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Zamzani Mohd. Zain.

Berdasarkan 34 kertas pertuduhan, Abdul Ghafa sebagai anggota polis trafik yang bertugas di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang secara rasuah telah menerima suapan bernilai RM200 melalui pindahan secara dalam talian yang mana mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi daripada individu, Ong Mooi Kiong.

Bagi lapan pertuduhan seterusnya, tertuduh juga secara rasuah telah menerima suapan iaitu wang tunai bernilai RM600 atas perkara sama secara dalam talian daripada individu bernama Adam Malik Jakirman.

Kesemua 42 kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank, Cawangan Berserah sejak 2 Januari 2017 sehingga 3 Disember 2019.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ketika dalam prosiding kes, tertuduh yang diwakili peguam, Fakrul Redha Paridul Adras memohon jaminanan dikurangkan atas alasan perlu menanggung keluarga dan mempunyai masalah kesihatan yang memerlukannya mendapat rawatan.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuantan bermula Februari depan sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nadzirah Zahari dan kes akan disebut semula, 9 Mac depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya