Salur wang ihsan paling cepat dalam sejarah - PM - Utusan Malaysia

Salur wang ihsan paling cepat dalam sejarah – PM

ISMAIL SABRI Yaakob (dua dari kiri) menyampaikan bantuan wang ihsan RM1,500 kepada mangsa banjir di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh Dataran Bahaman di Lanchang, Temerloh, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Penyaluran wang ihsan kepada mangsa banjir disifatkan paling cepat dalam sejarah negara apabila hanya dalam tempoh 10 hari selepas banjir melanda, mereka mula menerimanya.

Ia berbeza berbanding sebelum ini yang mengambil masa antara tiga ke enam bulan selepas musibah berkenaan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setelah dilanda banjir, rakyat memerlukan bantuan segera untuk memulihkan kehidupan mereka. 

Katanya, atas sebab itu, beliau mengarahkah supaya bantuan segera disalurkan kepada rakyat dan tidak perlu mengambil masa yang lama. 

“Jadi kali ini, saya dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali bahawa penyaluran bantuan (wang ihsan) kali ini paling cepat dalam sejarah. 

“Saya difahamkan, semua negeri terlibat banjir telah mula membuat pembayaran. Negeri Melaka misalnya telah habis. Pahang dan Selangor memerlukan masa kerana jumlah mangsa terlibat lebih ramai,” katanya ketika berucap pada Misi Bantuan Keluarga Malaysia bagi mangsa banjir Parlimen Temerloh di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh Dataran Bahaman di Lanchang, di sini hari ini.

Yang hadir sama Mohd. Zuki, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin. 

Ismail Sabri berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan membantu mengurangkan beban rakyat yang terkesan ekoran musibah banjir kali ini. 

“Atas sebab itu saya telah umumkan pelbagai bantuan untuk rakyat. 

“Semalam saya umumkan kerajaan menyediakan bantuan tunai sehingga RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah manakala bagi mereka yang mengalami kemusnahan rumah secara total, jumlah bantuan jauh lebih tinggi dan boleh mencecah RM61,000,” katanya. 

Sementara itu, Wan Rosdy dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri menerima bantuan wang ihsan sebanyak RM20.65 juta pada 24 Disember lalu. 

“Sehingga 31 Disember lalu, kita telah mengagihkan RM7.813 juta kepada 5,159 ketua isi rumah (KIR) meliputi hampir 40 peratus daripada lebih 18,000 ketua keluarga yang berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya