KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terpaksa ditangguhkan ke 26 Januari ini ekoran ketiadaan saksi.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya telah berusaha untuk mendapatkan saksi untuk hadir memberi keterangan namun tidak berjaya kerana masa yang diberikan terlalu pendek.
“Masa yang diberikan terlalu pendek dan semua saksi yang kami hubungi telah mempunyai komitmen lain yang tidak boleh dibatalkan. Saya memohon maaf atas situasi yang berlaku.
“Mengikut jadual, perbicaraan akan bersambung pada 26 Januari ini dan saksi pendakwaan ke-12, Azmi Tahir akan hadir bagi meneruskan sesi soal balas. Kami (pendakwaan) juga telah meminta tiga lagi saksi untuk ‘stand-by’ bagi mengelakkan situasi seperti hari ini berulang,” katanya.
Tiga saksi ‘stand-by’ itu ialah pegawai khas Najib, Datuk Wan Ahmad Shihab Wan Ismail dan bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail dan bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd. Bakke Salleh.
“Saya meminta agar pendakwaan menyediakan saksi kerana tidak mahu tarikh perbicaraan hari ini sia-sia tetapi dalam keadaan sekarang tiada yang boleh dilakukan. Terima kasih kepada pendakwaan kerana berusaha untuk menyediakan saksi. Perbicaraan ditangguhkan,” kata Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Pada prosiding sebelah pagi, pendakwaan memaklumkan bahawa Azmi yang juga bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB tidak dapat memberikan keterangan pada sesi soal balas kerana tidak sihat.
Tambahnya, pihaknya telah menelefon beberapa lagi saksi seperti Wan Ahmad Shihab, Ismee dan pegawai syarikat audit KPMG, Datuk Johan Idris.
“Datuk Johan kini berada di London. (Datuk) Wan Ahmad Shihab tidak sihat, dia cirit-birit sejak tiga hari lalu manakala Tan Sri Ismee kini sedang dikuarantin selepas pulang dari umrah.
“Kami juga telah menelefon bekas setiausaha syarikat 1MDB, Lim Poh Seng tetapi beliau ada temujanji bagi mendapatkan dos vaksin penggalak hari ini. Seorang lagi bekas setiausaha syarikat, Goh Gaik Kim memaklumkan beliau ada dua mesyuarat penting dan tidak boleh membatalkannya,” kata Ahmad Akram.
Hakim Sequerah kemudian mengarahkan pihak pendakwaan agar memanggil saksi-saksi lain dalam senarai saksi pendakwaan untuk hadir memberi keterangan pada prosiding sebelah petang.
Najib kini sedang dibicarakan atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah hampir RM2.3 bilion di Mahkamah Tinggi di sini. – UTUSAN