Rokok seludup  RM14 juta dirampas di perairan Langkawi - Utusan Malaysia

Rokok seludup  RM14 juta dirampas di perairan Langkawi

selepas cuba diseludup di Langkawi, Kedah, hari ini. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis menggagalkan cubaan lapan warga asing menyeludup sebanyak 97,500 karton rokok yang mengandungi 19.5 juta batang rokok bernilai RM14 juta dari Thailand, selepas menahan sebuah bot di perairan di sini, semalam.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, bot yang digunakan oleh warga asing itu dipintas sebuah bot ronda Maritim Malaysia di kedudukan 2.7 batu nautika barat Tanjung Belua di sini, pada pukul 4 pagi.

Menurutnya, sebelum itu, bot ‘barter trade’ milik warga asing tersebut dikesan hasil intipan dan kerjasama rapat dengan pihak penguat kuasa negara jiran.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot bertanda nama KM Bintang Jaya disyaki dari Thailand  menemukan sebanyak 1,950 karton yang mengandungi 19.5 juta batang rokok seludup pelbagai jenis yang disyaki cuba dibawa masuk ke negara ini.

“Pemeriksaan lanjut turut menemukan 39 guni berisi tembakau dengan berat setiap guni dianggarkan sekitar 50 kilogram (kg) dengan anggaran  nilai kira-kira RM780,000,” katanya dalam sidang akbar di Pejabat Operasi Maritim Malaysia Bukit Malut, di sini hari ini.

Zawawi memberitahu, siasatan awal mendapati modus operandi penyeludupan barang terlarang rentas sempadan ini dipercayai dibawa dari Thailand untuk dipasarkan ke pasaran tempatan dengan memalsukan pelekat duti setem pada kotak-kotak rokok berkenaan.

Katanya, nilai hasil cukai rokok yang dirampas itu dianggarkan sebanyak RM1.95 juta.

“Nilai keseluruhan rampasan itu pula dianggarkan bernilai RM15.417 juta yang melibatkan rokok dan tembakau serta sebuah bot,” ujarnya.

Selain itu, seorang tekong dan tujuh kru bot berusia lingkungan 19 hingga 55 tahun disyaki warga Indonesia yang memiliki dokumen pengenalan diri meragukan turut ditahan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 49(1) dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana menyeludup rokok dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia secara tidak sah.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya