SABAK BERNAM: Menyedari implikasi besar Covid-19 ke atas usahawan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi serta kesan musibah banjir yang melanda beberapa negeri pada penghujung tahun 2021, Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) menggerakkan agensinya untuk membantu golongan usahawan tersebut.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, ketika ini lebih 13,000 usahawan dalam kalangan mangsa banjir sudah dikenal pasti untuk dibantu.
“Sehubungan itu, agensi MEDAC seperti TEKUN Nasional, UDA Holdings, SME Corp, Bank Rakyat, SME Bank, INSKEN, PERNAS, SKM, IKMa, AIM dan PUNB bersama-sama berganding bahu untuk memastikan setiap usahawan yang terjejas kembali pulih dalam situasi yang mencabar ini.
“MEDAC memperuntukkan RM355.83 juta untuk melaksanakan program-program pembangunan keusahawanan pada tahun ini. Peruntukan yang disediakan ini bukan sahaja untuk PMKS sedia ada tetapi juga diharapkan akan dapat dimanfaatkan oleh bakal-bakal usahawan yang terdiri daripada segenap lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Program Usahawan Dan Koperasi Keluarga Malaysia di Stadium Sungai Besar hari ini.
Terdahulu beliau menyampaikan pembiayaan bernilai RM30 juta daripada agensi MEDAC kepada usahawan di kawasan Parlimen tersebut.
Noh berkata, antara inisiatif dan bantuan yang ditawarkan oleh MEDAC melalui agensi untuk membantu PMKS dan koperasi bangkit semula daripada pandemik Covid-19 dan musibah banjir adalah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) apabila memperuntukkan bantuan permulaan keseluruhannya sebanyak RM1 juta kepada koperasi yang terjejas akibat banjir.
“Nilai maksimum akan diberikan kepada setiap koperasi yang layak adalah sebanyak RM30,000 dan Insentif Pengurangan Pemindahan Kumpulan Wang Rezab Statutori (KWRS) daripada 15 peratus kepada lapan peratus daripada untung bersih terauditnya selepas pelarasan operasi.
“TEKUN Nasional juga memberi moratorium kepada peminjam yang terkesan dengan banjir selama enam bulan dan memperuntukkan sejumlah RM30 juta untuk pembiayaan usahawan mikro dan informal yang terkesan dengan banjir,” katanya.
Katanya lagi, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memberi moratorium secara automatik kepada Sahabat AIM bermula 20 Disember 2021 sehingga 31 Januari 2022Lega rasanya…Seai.
Beliau menambah, Bank Rakyat memberi penangguhan kepada peminjam yang terkesan dengan banjir selama enam bulan. – UTUSAN