RM320 juta bina dua jalan di Tongod, Keningau - Utusan Malaysia

RM320 juta bina dua jalan di Tongod, Keningau

BUNG Moktar (dua kiri) melawat kawasan tanah runtuh di Kampung Segaliud, Kinabatangan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KINABATANGAN: Kementerian Kerja Raya negeri terus komited melaksana pembangunan infrastruktur di Sabah dengan membina dua lagi jalan raya baharu yang bernilai RM320 juta.

Dua jalan itu akan menghubungkan Linayukan di Tongod dan Sinaron di Keningau yang dijangka dilancarkan melalui majlis pecah tanah selepas sambutan Aidilfitiri pada tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, rangkaian jalan raya berturap yang akan dibina ini akan membantu memacu ekonomi masyarakat setempat.

“Pembinaan jalan ini dijangka menjadi pemangkin kepada ekonomi sekitar kerana ia boleh menghubungkan daerah Ranau, Kota Kinabalu, Kinabatangan dan Pensiangan,” katanya selepas taklimat pembangunan infrastruktur jalan raya dan bekalan air di Pejabat Daerah Kinabatangan semalam.

Bung Moktar, yang juga Menteri Kerja Raya turut menasihatkan orang ramai agar tidak membina rumah mahupun bangunan di tepi-tepi jalan termasuk tanah rizab kerajaan.

Berdasarkan situasi semasa, apabila Lebuhraya Pan Borneo hendak dibina, banyak rumah yang dibina di tepi jalan terpaksa dirobohkan kerana berada di kawasan pembinaan.

“Apabila aliran pengangkutan mula meningkat maka, pelebaran jalan perlu dilakukan pada masa depan. Itu antara sebab rizab jalan tidak boleh diduduki mahupun dibangunkan.

“ Jika rakyat faham, seharusnya mereka membina rumah jauh sedikit dari jalan raya,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, secantik mana pun rumah yang dibina di tanah rizab kerajaan, jika ia dirobohkan, kos pampasan bukan dikira mengikut harga rumah sebaliknya mengikut kemampuan kerajaan.

Setakat ini, kira-kira 50 rumah telah dikenal pasti dan diarah berpindah bagi memberi laluan kepada projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Zon Timur di daerah ini.

Jelas beliau, penduduk yang terjejas perlu berpindah segera dan kerajaan telah menyediakan tanah bagi pembinaan semula rumah mereka di kawasan Kota Kinabatangan.

Dalam lawatan itu, beliau sempat meninjau rumah terjejas tanah runtuh di Kampung Warisan, kawasan cadangan menaik taraf jalan Kampung Sungai Rotan, loji rawatan air Kampung Paris dan Paris tiga serta kawasan jalan runtuh di Kampung Segaliud.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya