RM15.1j bantu mangsa banjir Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

RM15.1j bantu mangsa banjir Negeri Sembilan

MAHDZIR Khalid (tengah) menyampaikan Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Asas kepada mangsa banjir bagi DUN Sri Tanjung, Port Dickson hari ini.- UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM15.1 juta menerusi Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Asas kepada mangsa banjir yang terjejas di Negeri Sembilan baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bantuan sebanyak RM2,500 diserahkan kepada ketua isi rumah sebagai tambahan kepada Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 yang diberikan sebelum ini.

“Proses penyaluran bantuan itu dilaksanakan sepenuhnya oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri melalui pejabat-pejabat pembangunan negeri.

“Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung di Port Dickson sebanyak 305 orang telah menerima Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Asas sebanyak RM2,500 hari ini,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Asas DUN Sri Tanjung Parlimen Port Dickson oleh Kerajaan Persekutuan hari ini.

Mahdzir berkata, inisiatif itu dapat membantu meringankan mangsa yang terkesan selaras dengan usaha kerajaan untuk memulihkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

Jelas Mahdzir, secara keseluruhan sebanyak RM8 juta disalurkan kementeriannya untuk kerja-kerja membaik pulih dan membina rumah baharu serta infrastruktur yang rosak akibat banjir di Negeri Sembilan. 

Beliau berkata, kementeriannya melalui agensi seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Giat Mara kini sedang menjalankan kerja-kerja membaik pulih dan membina rumah baharu untuk mangsa banjir di seluruh negara. 

“Projek telah dimulakan dan pihak kontraktor yang dilantik diberi tempoh masa antara empat bulan sehingga enam bulan untuk menyiapkannya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata, sebanyak RM37.2 juta diperuntukkan bagi 356 projek membina semula dan membaik pulih jalan perhubungan desa atau jalan kampung yang rosak akibat banjir.  

“Saya ingat dalam minggu ini kita akan muktamadkan ikut negeri dan Insya-Allah dalam minggu depan kita boleh melantik kontraktor.

“Selain itu, sebanyak RM35 juta diperuntukkan untuk membaik pulih dan membina kemudahan untuk 394 projek Program Ameniti Sosial (PAMS) yang terkesan akibat banjir termasuk kawasan perkampungan orang Asli,” katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, Mohd. Faizal Ramli berkata, bantuan segera secara tunai itu menunjukkan keprihatinan kerajaan selain dapat mengurangkan karenah birokrasi.

“Sebelum ini, mangsa yang terjejas mungkin terpaksa menunggu satu hingga dua bulan sebelum bantuan diserahkan.

“Bantuan yang diberi secara tunai juga dapat memberi kebebasan kepada mangsa banjir membeli barang yang rosak dan keperluan yang perlu diganti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya