KUALA TERENGGANU: Terengganu memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi membantu anak negeri di perantauan yang terjejas dengan bencana banjir baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bantuan kewangan itu akan disalurkan kepada mangsa-mangsa di Lembah Klang dan Pahang menerusi Persatuan Anak-Anak Terengganu di Perantauan (Perantau).
“Setiap keluarga dijangka menerima RM500 dan bantuan sama bakal diteruskan kepada anak Terengganu di Johor,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan bantuan kepada wakil Perantau, Muhamad Hafizullah Muda di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Wan Sukairi berkata, pemberian sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri dan diharap dapat meringankan beban mangsa banjir.