JOHOR BAHRU: Reman ke atas Long Tiger dan tiga individu membabitkan kes melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak yang sepatutnya berakhir hari ini, disambung dua hari.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan terhadap lelaki berketurunan Rohingya yang berusia 32 tahun itu serta suspek berusia 36, 38 dan 46 tahun.
Katanya, reman tersebut disambung sehingga 3 Januari untuk siasatan di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan dan Seksyen 216 kanun sama.
Pada 29 Disember lalu, keempat-empat mereka termasuk lelaki yang berperwatakan perempuan yang dicekup bersama-sama Long Tiger di Sungai Petani serta di Batu Pahat, direman selama empat hari.
Penjenayah paling dikehendaki dalam buruan polis itu ditangkap sehari sebelum itu ketika sedang bersembunyi di sebuah rumah di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani.
Semasa tangkapan pada pukul 3.15 petang, Long Tiger mengalami beberapa kecederaan selepas tergelincir dari bumbung rumah ketika sekali lagi cuba melarikan diri setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa. – UTUSAN ONLINE