MARANG: Tempoh reman seorang doktor klinik swasta yang dipercayai menjual sijil vaksinasi Covid-19 palsu disambung dua hari lagi bermula esok.
Perintah reman sehingga Khamis itu dikeluarkan oleh Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek yang berusia 51 tahun itu tiba di Mahkamah Majistret Marang di sini kira-kira pukul 9.40 pagi.
Doktor itu ditahan di Kampung Mengabang Tengah di Kuala Terengganu kira-kira pukul 7.34 malam, Sabtu lalu.
Semalam, Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, suspek dipercayai menawarkan perkhidmatan itu sejak September lalu selepas premisnya di Marang diberikan kebenaran mengendalikan suntikan vaksinasi secara berbayar.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut, lebih 1,900 sijil vaksinasi Covid-19 dikeluarkan kepada pelanggan termasuk dari Kuala Lumpur, Pahang, Kedah dan Johor dengan kadar bayaran antara RM400 hingga RM600 seorang.