Rejaman ‘Si Panjang’ gusarkan KL Thunder
PETALING JAYA: Kuala Lumpur (KL) Thunder ‘gelisah’ menjelang aksi pertemuan menentang Selangor Pistons yang mempertaruhkan dua tekong berbisa dalam kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 hari ini.
Melihat aksi dipamer Haziq Hairul Nizam dan Zuhri Zain, yang masing-masing memiliki ketinggian 1.93 meter (m) serta 1.94m, dua tekong berusia 20 tahun itu jelas mampu memberi ancaman kepada KL Thunder.
Aksi cemerlang tersebut membantu Selangor Pistons mengutip kemenangan kedua selepas berjaya menundukkan juara divisyen 1 musim lalu, Bomba Fighters Jumaat lalu.
“Saya melihat Selangor Pistons mempunyai dua tekong muda yang begitu berbakat dengan memiliki saiz tubuh badan yang ideal, mempunyai ketinggian dan rejaman yang laju menyebabkan KL Thunder perlu bertahan dengan baik.
“Sekiranya kami dapat bertahan dengan baik, barulah tekong kami dapat melakukan serangan tanpa ada tekanan daripada pihak lawan.
“Apabila melihat prestasi semasa pasukan ketika ini, serangan daripada tekong ada juga membantu, namun ada kelonggaran sedikit dari segi pertahanan. Perkara itu membimbangkan saya,” kata jurulatih pasukan, Rashidi Nordin kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, bercakap pula mengenai kekalahan KL Thunder kepada Penang Black Panthers Jumaat lalu, Rashidi berkata, pasukannya kelihatan kurang keyakinan biarpun menentang pasukan yang lebih muda.
“Selain masalah pertahanan, Syahir Rosdi (tekong) kurang yakin dalam melakukan sepakan servisnya pada perlawanan ini. Saya boleh melihat banyak percubaannya tidak menjadi sekaligus menyebabkan keyakinannya semakin menurun.
“Saya masih akan memberikan peluang kepada Syahir kerana saya tahu kemampuannya dan saya mahu melihat dia mempamerkan momentum sebenar dalam aksi seterusnya,” jelasnya.
Tekong kebangsaan itu dilihat masih mencari rentak permainan sebenar dalam saingan STL selepas mempamerkan aksi kurang memuaskan dalam tiga perlawanan awal musim.