KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) memberi tempoh tujuh hari kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk merehatkan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sekiranya tidak mahu satu himpunan rakyat diadakan.
Perkara itu ditegaskan Pengarah Biro Mobilisasi Amanah Nasional, Mohd. Sany Hamzan selepas penyerahan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM itu di beberapa buah syarikat.
Mohd. Sany berkata, himpunan secara besar-besaran itu akan diadakan bagi menuntut Azam direhatkan segera sekiranya tiada tindakan yang diambil oleh Perdana Menteri.
“Kita minta Perdana Menteri supaya merehatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu. Kita bagi masa tujuh hari kepada Ismail Sabri.
“Jika tiada, kita akan anjurkan satu himpunan rakyat menuntut supaya Ketua Pesuruhjaya SPRM ini direhatkan segara dan himpunan ini akan kita adakan di Putrajaya iaitu di hadapan Pejabat Perdana Menteri,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Pintu 3, Istana Negara, hari ini.
Penyerahan memorandum itu juga diwakili Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd. Hasbie Muda dan Pengerusi Biro Mobilisasi Pemuda Amanah, Abbas Salimmi Che Adzmi @ Azmi.
Dalam pada itu, Mohd. Hasbie berkata, penyerahan memorandum itu adalah bagi memohon Seri Paduka bertitah kepada Perdana Menteri supaya ditubuhkan satu Suruhanjaya Bebas menyiasat kes ini secara menyeluruh dan terperinci.
Oleh itu, katanya, saranan untuk meminta Azam direhatkan itu bagi membenarkan satu siasatan bebas itu dibuat dengan bebas.
“Ini kerana bukan tugas Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) untuk tentukan Azam bersalah atau sebaliknya, tetapi yang berhak menentukan adalah Suruhanjaya Bebas. Kita kena tahu dalam LPPR itu, Azam ialah salah seorang anggota, ini sudah menjadi seperti keluarga 69 apabila beliau di dalam itu dan menyiasat dirinya sendiri.
“Kita datang terus ke Istana juga kerana pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dibuat secara langsung oleh Seri Paduka, maka apa juga isu integriti berkait SPRM itu akan menjejaskan imej Seri Paduka sendiri.
“Kita datang sini juga kerana kita bimbang isu ini menjadi bahan ketawa di kalangan masyarakat dunia. Kita sudah lalui zaman ditertawakan dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu langkah sheraton dan kini isu Azam ini,” katanya.
Bagi Abbas Salimmi pula, segala dakwaan yang dikaitkan dengan Azam itu juga dikhuatiri memberikan contoh yang tidak baik kepada orang muda kerana beliau sepatutnya menjadi seseorang yang menjaga integriti dan tadbir urus yang baik.
Katanya, pihaknya yakin orang muda di luar sana cukup tidak berminat dengan perkara sebegini.
“Jadi, Pemuda Parti Amanah dan Parti Amanah mewakili suara rakyat serta suara orang muda mahukan satu siasatan terperinci, bebas dan mengharap Seri Paduka untuk melihat isu ini dengan sebaiknya.
“Kami yakin Seri Paduka mampu untuk membuat sesuatu demi negara, rakyat dan khusus kepada orang muda yang akan mewarisi negara ini. Kita tidak mahu perkara ini berulang lagi. Sudah-sudahlah dengan 1MDB, rasuah dan kali didedahkan pula dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM.
“Jika Perdana Menteri tidak mengambil tindakan drastik, kami parti Amanah bersama rakan komponen akan menggerakkan satu gerakan rakyat yang lebih besar mendesak supaya perkara sebegini dibanteras dengan secepatnya kerana ia melibatkan integriti dan good governance negara kita yang semakin hari semakin tercemar,” ujarnya. – UTUSAN