JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga emas dijatuhkan hukuman penjara satu hari beserta denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana memberi rasuah sebanyak RM600 kepada seorang kakitangan kerajaan pada 15 Julai tahun lalu.
Tertuduh, Tan Yen Keek, 65, dijatuhkan hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia yang juga seorang pemilik kedai gas cuba merasuah seorang anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu sebagai dorongan agar anggota berkenaan tidak membuat pemeriksaan lanjut terhadap premis miliknya yang menjalankan aktiviti perniagaan pemborong dan gas petroleum cecair (LPG).
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di premis miliknya di Kawasan Perusahaan Ringan Pulai, di sini pada pukul 11.30 pagi, 15 Julai tahun lalu.
Terdahulu, peguam tertuduh, A. K. Bharathi meminta mahkamah memberikan hukuman minimum terhadap tertuduh kerana ia merupakan kesalahan pertama lelaki terbabit.
“Selain itu, tertuduh turut menanggung seorang isteri dan seorang anak lelaki berusia 25 tahun yang mempunyai masalah kesihatan mental dan penyakit jantung berlubang.
“Tertuduh turut menanggung sewa kedai berjumlah RM2,200 sebulan selain turut perlu membayar gaji kepada dua orang pekerjanya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suhaili Sapun bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan juga masyarakat awam.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM10,000 terhadap tertuduh, jika gagal membayar akan dikenakan tiga bulan penjara.
Namun peguam tertuduh memaklumkan anak guamnya akan membuat pembayaran denda berkenaan. -UTUSAN ONLINE