Rasuah: Penolong Pegawai Tadbir DBKL didenda RM18,000 - Utusan Malaysia

Rasuah: Penolong Pegawai Tadbir DBKL didenda RM18,000

Mohamed Helfien Nordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penolong pegawai tadbir Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didenda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,700 berhubung kerja-kerja pembersihan perumahan rakyat (PPR) dan rumah sampah.

Hakim Rozina Ayob turut memerintahkan tertuduh, Mohamed Helfien Nordin, 45, dipenjara selama 15 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Pengurus Perumahan Zon 2, Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL didakwa menerima suapan berjumlah RM2,700 daripada dua pemilik syarikat kontraktor pembersihan di antara 4 Februari 2014 hingga 5 Disember 2016.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Sekyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab. Wahab manakala tertuduh diwakili peguam bela, C. Rajsurian Pillai.

Pada 12 Mac 2021, Mohamed Helfian didakwa atas 120 pertuduhan membabitkan rasuah di dua Mahkamah Sesyen di sini. Pada tarikh tersebut di hadapan Rozina, tertuduh mengaku tidak bersalah atas 34 pertuduhan.

Pada prosiding hari ini, tertuduh mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan hari ini. Pihak pendakwaan kemudian memohon agar baki 28 pertuduhan diambil untuk dipertimbangkan (taken into consideration) sebagaimana dalam peruntukan 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Bagi kes di hadapan Hakim Azura Alwi yang membabitkan 86 pertuduhan, kes akan disebut pada 19 Januari ini. jumlah keseluruhan rasuah yang didakwa diterima tertuduh ialah sebanyak RM82,700.

Terdahulu, ketika mengemukakan rayuan, Rajsurian memohon mahkamah mengambil kira bahawa anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah lampau, mempunyai empat orang anak dan isteri yang tidak bekerja.

“Mohon mahkamah mengambil kira bahawa tertuduh juga pernah ditahan di lokap selama 12 hari ketika direman dan selama 14 hari selepas didakwa kerana tidak mampu menjelaskan jaminan ketika itu,” kata peguam terbabit.

Selepas menjatuhkan hukuman denda RM18,000, gagal bayar 15 bulan penjara, Rozina sempat memberikan sedikit nasihat buat tertuduh.

“Mahkamah berharap tempoh 26 hari awak di penjara telah membuatkan awak serik dan takkan mengulangi perbuatan awak. Sepatutnya awak menjadi contoh yang baik buat anak-anak awak dan bukannya membuat benda haram. Sia-sia bukan, bila jadi begini,” kata hakim tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya