LONDON : Penjaring gol tunggal Manchester United Marcus Rashford hilang kata-kata untuk menggambarkan gol diledakkannya pada minit terakhir di Old Trafford sekaligus menghadiahkan kemenangan kepada Red Devils.
Kemenangan 1-0 ke atas West Ham, semalam menyaksikan skuad kendalian Ralf Rangnick memintas lawannya itu untuk menduduki tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Ini adalah perlawanan terbaik melibatkan diri saya dan apabila anda berada di pasukan yang menang, ia memberikan perasaan yang hebat dan tiada apa dapat menandingi perasaan ini dalam bola sepak.
“Kami amat gembira. Ia satu perlawanan yang besar menentang lawan yang pada ketika ini berada di kedudukan yang amat hampir dengan kami, jadi adalah penting untuk kami mendapatkan kemenangan.
“Anda mungkin tidak dapat melihatnya sekarang tetapi pada penghujung musim, ia mungkin hanya akan dibezakan tiga atau empat mata dalam perebutan empat teratas, jadi kami amat gembira untuk mendapatkan tiga mata hari ini (semalam), dan kami perlu menggunakannya sebagai motivasi,” ujarnya.
Percaturan memasukan Anthony Martial, Edinson Cavani dan Rashford sebagai pemain gantian mencetuskan gerakan gol kemenangan buat tuan rumah.
“Suasana di bilik persalinan menakjubkan. Pemain-pemain meraikan kemenangan, mereka tahu betapa besarnya kemenangan ini. Ia antara kemenangan terbaik apabila pasukan lawan tidak sempat untuk bangkit,” ujar Rangnick.
Rangnick hanya tewas sekali dalam 10 perlawanan pertamanya sejak mengambil alih United, namun sekali lagi keputusan perlawanan jauh lebih menarik daripada persembahan anak buahnya.- AGENSI