Rancangan jangka panjang elak musibah banjir terus berlaku - PM - Utusan Malaysia

Rancangan jangka panjang elak musibah banjir terus berlaku – PM

ISMAIL SABRI Yaakob (dua dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada penerima bantuan sumbangan banjir di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh Dataran Bahaman di Lanchang, Temerloh, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Kerajaan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat akan membincangkan perancangan jangka panjang bagi mengelak musibah banjir daripada terus berlaku.

Ia juga bagi memastikan negara tidak terus berbelanja besar setiap kali banjir yang mana sehingga kini RM1.4 bilion diperuntukkan untuk bantuan. 

Jumlah itu bagaimanapun dijangka terus meningkat kerana ia belum meliputi peruntukan membaik pulih kerosakan infrastruktur seperti jalan raya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selepas berakhirnya pasca banjir, jawatankuasa itu akan segera bermesyuarat bagi melihat penyelesaian secara tuntas dan menyeluruh berkaitan musibah tersebut di seluruh negara. 

Beliau berkata, segala aspek akan dilihat oleh kerajaan termasuk membabitkan kedalaman sungai, tebatan banjir, kawasan simpanan air, Terowong Smart dan juga kawasan penempatan banjir.

Berhubung tebatan banjir, katanya, ia tentunya melibatkan kos yang tinggi, oleh sebab itu kerajaan melihat kos sebenar bagi membolehkan ia dilaksanakan di seluruh negara.

“Kalau tidak boleh dibuat serentak, kita fokus daerah-daerah atau kawasan yang berpotensi tinggi dilanda banjir. Kita akan kumpul maklumat terperinci supaya kita dapat selesaikan semuanya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Misi Bantuan Keluarga Malaysia bagi mangsa banjir Parlimen Temerloh di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh Dataran Bahaman di Lanchang, di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali; Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin. 

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga melihat kepada keperluan untuk mewujudkan kawasan simpanan air bagi kegunaan sewaktu musim kemarau. 

“Perkara ini sebenarnya telah lama diputuskan malah sewaktu kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah. Kita mengikut model di Belanda yang mana mereka ada tempat takungan air sewaktu banjir yang boleh digunakan ketika kemarau. 

“Begitu juga Terowong Smart, di Kuala Lumpur ia cukup berkesan, mungkin kita melihat kawasan bandar dan pesat seperti di Shah Alam, Selangor kemungkinan diwujudkan Terowong Smart,” katanya.

Beliau berkata, begitu juga membabitkan soal penempatan banjir yang mana duhulu ketika tahun 1971, mangsa banjir dipindahkan di kawasan tinggi.

“Di Pahang sebagai contoh, kita panggil rumah banjir, kita buat satu perkampungan baharu untuk mangsa banjir. 

“Perkara ini boleh dibincangkan dengan kerajaan negeri supaya mengenal pasti tanah atau kawasan baharu untuk kita membina rumah baharu,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya