KUALA TERENGGANU: Kegilaan orang ramai terhadap keladi membolehkan pengusaha tanaman hiasan itu meraih jualan hampir RM100,000 pada tahun lalu.
Pemilik Zetty Roses, Sharifah Marzety Adibah Al-Sayed Mohamad berkata, sambutan luar biasa itu sama sekali tidak dijangka memandangkan belum setahun terlibat dalam aktiviti penjualan keladi.
Malah, katanya, jumlah itu turut setanding dengan hasil jualan ros yang diusahakannya sejak lapan tahun lalu.
“Zetty Roses bukan sekadar menjual secara borong, sebaliknya kita merupakan pusat pembenihan dan penyelidikan keladi di Pantai Timur.
“Kita memiliki sebanyak 213 spesies keladi dengan paling mahal adalah black diamond yang berharga lebih RM50,000 di samping giat melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan hibrid baharu,” katanya ketika ditemui di Pantai Ali di sini, baru-baru ini.
Menurut Zetty, idea untuk mengembangkan perniagaan kepada tanaman keladi timbul atas permintaan ramai di samping kaedah penjagaan yang lebih mudah serta tidak mencabar seperti ros.
Katanya, jualan keladinya kini meluas di seluruh Malaysia, bahkan mendapat permintaan untuk dieksport ke Thailand, sekali gus menyasarkan peningkatan pendapatan kepada RM200,000, tahun ini.
“Spesies paling laris adalah colocasia dan setakat ini kita memiliki dua jenis iaitu colocasia sp dan lemon yang ditanam di taman keladi seluas 0.4 hektar.
“Kelebihan keladi di Zetty Roses adalah tumbesarannya lebih cepat kerana menggunakan baja organik dan vitamin yang diformulasi sendiri yang membolehkan tanaman menjadi setinggi hampir dua meter dalam tempoh dua bulan sahaja berbanding kelaziman iaitu setahun,” katanya. – UTUSAN