Pustaka mini pengguna KTMB Butterworth - Utusan Malaysia

Pustaka mini pengguna KTMB Butterworth

SUASANA perpustakaan mini di stesen KTMB Butterworth, Pulau Pinang. – IHSAN RAC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengguna Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di stesen Butterworth, Pulau Pinang kini boleh mengisi masa lapang dengan membaca di perpustakaan mini yang disediakan di situ.

Menurut hantaran oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC) menerusi laman sosialnya semalam, projek khas tersebut yang kedua diwujudkan selepas di stesen Dabong, Kelantan.

“Kemudahan berkenaan dilengkapi dengan pelbagai bahan bacaan bergenre santai sebagai salah satu daripada aktiviti di bawah program tanggungjawab sosial korporat,” jelas agensi itu.

RAC turut mengingatkan para pengunjung untuk tidak lupa menyimpan semula buku-buku yang dibaca itu di rak disediakan sebagai usaha menjaga bersama harta benda awam tersebut.

Sekiranya masyarakat mempunyai apa sahaja cadangan yang sesuai untuk penambahbaikan stesen kereta api, mereka boleh mengajukan saranan di ruangan komen akaun Facebook itu.

Stesen Butterworth dibuka pada 1967 lalu sebelum dibina semula dengan imej baharu lebih moden pada 2011 serta menghubungkan terminal bersepadu pengangkutan Penang Sentral.

Ia juga adalah destinasi terakhir untuk perkhidmatan tren penumpang komersial KTMB Komuter Sektor Utara laluan ke Padang Besar, Perlis serta ETS ke Gemas, Negeri Sembilan.

Di samping itu, stesen ini turut berperanan sebagai laluan sambungan kereta api barangan menuju ke dan dari Terminal Kontena Butterworth Utara untuk destinasi Johor dan Thailand. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya