Pulau Pinang kini miliki jalan raya tertinggi di Malaysia - Utusan Malaysia

Pulau Pinang kini miliki jalan raya tertinggi di Malaysia

PULAU PINANG kini memiliki jalan raya tertinggi di Malaysia selepas Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) yang berketinggian kira-kira 61.5 meter (m) mula beroperasi hari ini. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pulau Pinang kini memiliki jalan raya tertinggi di Malaysia selepas Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) di sini yang berketinggian kira-kira 61.5 meter (m) mula beroperasi hari ini. 

Difahamkan, jalan raya sepanjang 3.825 kilometer (km) itu mengatasi Lebuh Raya Rawang-Serendah (Rawang Bypass) di Selangor yang berketinggian 58.2 m. 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek berkenaan yang menelan kos kira-kira RM378.2 juta dan dibiayai sepenuhnya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bertujuan menampung perkembangan pesat negeri itu berikutan pertambahan jumlah trafik khususnya di kawasan berkenaan. 

Ujar beliau, projek itu juga disiapkan dan dibuka kepada orang ramai selepas mengharungi pelbagai cabaran sepanjang enam tahun perancangan serta pembinaannya. 

“Tempoh enam tahun perancangan dan pembinaan bukanlah satu tempoh yang mudah kerana sepanjang proses tersebut, kita berdepan kritikan, kecaman dan sebagainya sehinggalah projek ikonik ini kini berjaya disiapkan,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan Projek Pembinaan Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong itu di sini hari ini. 

Jelas Kon Yeow, projek berkenaan terbahagi kepada tiga bahagian dengan dua daripadanya dibiayai pihak pemaju swasta berikutan jajaran jalan berkenaan melalui tanah pembangunan masing-masing dan dijangka siap pada 2025.

Secara keseluruhannya, projek itu dianggarkan menelan kos RM545.6 juta sepanjang 5.5 km yang menghubungkan tiga laluan utama iaitu Paya Terubong (Jalan Thean Teik) – Bukit Jambul dan Balik Pulau- Jalan Tun Sardon. 

Laluan itu adalah alternatif kepada penduduk di kawasan Paya Terubong dan Air Itam untuk berhubung dengan kawasan Bukit Jambul, Bukit Gambir, Balik Pulau dan kawasan sekitarnya. 

Projek itu pernah menimbulkan kontroversi apabila sebahagian struktur dalam pembinaan runtuh yang mengorbankan sembilan mangsa dan tiga cedera dalam kejadian pada Oktober 2018. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya