Pulau Pinang kekal paling banyak rumah sembelih babi swasta - Utusan Malaysia

Pulau Pinang kekal paling banyak rumah sembelih babi swasta

SETIAP ternakan babi yang akan disembelih perlu dipastikan bebas daripada sebarang wabak penyakit berbahaya. – FOTO JPV
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Meskipun bukan negeri penternakan babi terbesar di Malaysia, Pulau Pinang terus kekal dengan memiliki paling banyak rumah sembelihan swasta haiwan itu di negara ini.

Perangkaan terbaharu diterbitkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menunjukkan negeri termaju wilayah Utara Semenanjung itu kini mempunyai lima premis tersebut, bertambah daripada hanya tiga pada tahun lalu dan cuma sebuah direkodkan dua tahun lepas, sekali gus membuktikan permintaan tinggi penyembelihan babi di Pulau Pinang.

Antara premis itu terletak di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Daerah Seberang Perai Utara yang pernah mencetuskan kontroversi isu pelepasan najis babi di parit awam sekitarannya.

Rumah sembelih swasta yang sudah dilesenkan JPV sejak 2016 itu mampu menyembelih kapasiti 200 ekor babi setiap hari dengan tempoh sah permitnya berakhir pada 30 Jun depan.

Secara umum, kesemua lima premis tersebut berupaya melakukan penyembelihan mencecah 2,020 ekor babi sehari untuk menampung keperluan penduduk negeri itu dan juga negeri lain.

Selain Pulau Pinang, JPV turut mengeluarkan lesen rumah penyembelihan babi swasta di lima lagi negeri di Semenanjung yang keseluruhan berjumlah 13 buah pada ketika ini iaitu bertambah daripada hanya 10 buah pada tahun lalu dan lapan sahaja pada 2020 membabitkan maksimum sejumlah 6,810 ekor babi disembelih setiap hari.

Selangor walaupun cuma ada sebuah rumah penyembelihan babi swasta di negeri itu, namun ia merekodkan bilangan penyembelihan tertinggi sehari untuk satu premis iaitu 2,000 ekor yang diuruskan Tip Top Meat Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 2005 di bawah syarikat Makin Jernih Group dengan kilang modennya di Serendah berupaya menyembelih 3,500 ekor babi sehari.

Jumlah besar itu disebabkan dua rumah sembelihan dikendalikan JPV Selangor iaitu di Shah Alam dan Banting tidak menyembelih babi tetapi hanya untuk ruminan lembu dan kambing.

Johor pula mempunyai tiga rumah sembelihan babi swasta masing-masing di Kluang, Batu Pahat dan Johor Bahru dengan kapasiti 1,360 ekor sehari yang turut dieksport ke Singapura.

Perak meskipun negeri penternakan babi terbesar di Malaysia, tetapi cuma ada dua premis sembelihan swasta masing-masing di Ipoh dan Taiping dengan keupayaan harian 980 ekor.

Baki dua negeri lagi ialah Pahang dan Melaka masing-masing sebuah iaitu di Alor Gajah dengan kapasiti 250 ekor sehari dan Kuantan yang berkeupayaan 200 ekor setiap hari.

Rekod JPV untuk sepanjang tahun lalu menunjukkan anggaran 1,857,839 ekor babi diternak di seluruh negara kecuali Perlis, Terengganu, Kelantan dan tiga buah Wilayah Persekutuan.

Bilangan itu berkurangan berbanding tahun sebelumnya susulan isu penularan demam babi Afrika di beberapa negeri yang menyaksikan puluhan ribu ekor haiwan itu dilupuskan JPV.

Keadaan tersebut turut mengakibatkan pemakanan babi dalam rakyat negara ini merosot kepada anggaran cuma 233,921 tan pada tahun lepas daripada 234,204 tan pada 2020 lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya