PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, prosiding secara dalam talian kekal dan tidak timbul persoalan untuk mahkamah kembali kepada cara lama (fizikal).
Beliau memberitahu, menerusi kecanggihan teknologi yang ada sekarang, badan kehakiman sentiasa menggunakannya selaras dengan perkembangan semasa.
“Kemunculan perbicaraan dalam talian bukan hanya satu cara untuk menangani pandemik tetapi ciri ia adalah kekal sistem keadilan kita.
“Oleh itu, tiada persoalan ‘berbalik’ (kaedah lama fizikal),” katanya ketika berucap pada Pembukaan Tahun Undang-Undang 2022 di Istana Kehakiman, sini hari ini.
Yang hadir sama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Turut hadir Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
Seramai 430 jemputan hadir dalam majlis ini iaitu 80 secara fizikal manakala selebihnya secara dalam talian.
Antara yang hadir menerusi aplikasi Zoom ialah Ketua Mahkamah Agung Republik Indonesia, Profesor Dr. Muhammad Syarifuddin; Ketua Hakim Negara Mahkamah Agung Filipina, Alexander G Gesmundo dan Ketua Hakim Syarie Malaysia, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Terdahulu, Tengku Maimun berkata, apabila wabak itu mula-mula melanda pada Mac 2020, mahkamah terpaksa meneruskan kes dalam talian untuk mendapatkan persetujuan kedua-dua pihak, tertakluk kepada kepentingan keadilan kerana tidak ada undang-undang yang jelas menetapkan bahawa pendengaran atau perbicaraan dalam talian dibenarkan di mahkamah.
Beliau berkata, kini Parlimen secara afirmatif campur tangan untuk membenarkan perbicaraan secara dalam talian tanpa mengira persetujuan, namun masih tertakluk kepada kepentingan keadilan
“Perubahan penting dalam undang-undang yang membenarkan prosiding dalam talian dibuat melalui Seksyen 15A Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang menyatakan bahawa mahkamah boleh menjalankan kes sivil dan jenayah melalui teknologi komunikasi jarak jauh,” kata beliau lagi. – UTUSAN ONLINE