KANGAR: Dua lelaki yang bertindak sebagai proksi menerima rasuah kira-kira RM80,000 dari keluarga banduan untuk diberikan kepada pegawai penjara Jabatan Penjara Malaysia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri semalam.
Suapan kepada pegawai penjara terbabit sebagai dorongan untuk menyeludup barang-barang terlarang ke dalam penjara.
Kes berkenaan dipercayai berlaku sepanjang tahun lalu dengan sebanyak 460 transaksi bank dikesan membabitkan jumlah kira-kira RM80,000.
Kedua-dua lelaki tersebut berusia 26 dan 28 tahun direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 16 Januari ini.
Menurut sumber SPRM, suspek yang merupakan orang awam ditahan di pejabat SPRM negeri ketika datang memberi keterangan kira-kira pukul 6.30 petang selepas menerima aduan daripada orang awam.
“Kes ini dipercayai dilakukan sepanjang 2021 dengan jumlah wang rasuah kira-kira RM80,000 melibatkan 460 transaksi. Suapan tersebut adalah sebagai balasan untuk menyeludup barang-barang terlarang ke dalam penjara.
“Kita tidak menolak kemungkinan ada lagi tangkapan dalam masa terdekat,” katanya.
Menurutnya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM negeri, Suzeliyana Hashim ketika dihubungi mengesahkan penangkapan tersebut.