Program Sulung perkasa siswa B40 - Utusan Malaysia

Program Sulung perkasa siswa B40

DR. MOHAMMAD SHATAR SABRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) akan menjadi projek fokus Kementerian Pengajian Tinggi tahun ini bagi membantu meningkatkan ekonomi mahasiswa daripada golongan B40.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, program terbabit diperkenalkan kementerian berkenaan bagi membangunkan golongan siswa B40 serta mengubah nasib keluarga mereka dengan mewujudkan orang pertama dalam sesebuah keluarga melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

Beliau berkata, projek itu mampu meningkatkan imej pengajian tinggi negara seterusnya membuktikan sistem pendidikan di Malaysia bukan sekadar memberikan ilmu pengetahuan, malah turut prihatin kepada golongan tidak berkemampuan.

“Lebih ramai dalam kalangan masyarakat terutama golongan B40 akan berpeluang meningkatkan tahap akademik masing-masing dan secara tidak langsung membantu memperkasa ekonomi keluarga serta negara. 

“Usaha ini juga menonjolkan kualiti sebenar pendidikan kita di persada antarabangsa seterusnya mampu membantu menjadikan Malaysia sebagai hab pengajian tinggi global,” katanya, hari ini.

Program di bawah strategi ketujuh dalam Amanat Tahun 2022 Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad iaitu Menyemarak Semangat #KPTPrihatin itu akan dilaksanakan di tujuh institusi pengajian tinggi (IPT)  rintis bermula tahun ini.

Universiti berkenaan ialah Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Sabah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Dr. Mohd Zabri Yusoff berkata, pihaknya bukan sekadar membantu siswa B40 masuk dan belajar di peringkat pengajian tinggi, malah golongan itu akan turut diberi biasiswa, kemudahan dan motivasi sehingga membantu mereka mendapatkan pekerjaan selepas bergraduat. 

“Biasiswa akan diselaras dengan pihak universiti dan majlis agama Islam yang berkenaan, kita juga akan lihat sumber lain seperti endowmen. 

“Diharap mereka akan dapat mengubah nasib keluarga dan menjadi pencetus motivasi kepada ahli keluarga yang lain untuk meningkatkan prestasi dalam bidang akademik,” katanya.  -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN