KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) bukan suatu perkara baharu untuk UMNO hadapi, lantas persediaan sudah dibuat sejak pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan setelah Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagaimanapun pihaknya bergantung kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sama ada PRN Johor dibenarkan untuk diadakan atau sebaliknya.
“Bila dan apa juga keputusan yang dibuat oleh SPR, kita akan mematuhi sepenuhnya. Kesiapsiagaan tentu bahawa jentera kita telah melakukan pendekatan operasi sejak beberapa lama yang lalu ketika kita hadapi PRK di beberapa tempat.
“PRN ini bukan satu perkara baharu yang berada dalam keluarbiasaan sekiranya PRN Johor itu perlu kami untuk menyertai,” katanya ketika ditemui selepas menerima memorandum bantahan Pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Majlis Tertinggi (MT) UMNO memberi lampu hijau kepada parti itu untuk bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi mencari mandat baharu mendirikan kerajaan yang lebih stabil berbanding majoriti satu kerusi pada masa sekarang.
Kedudukan parti yang memerintah kerajaan negeri yang berkelebihan 28 kerusi berbanding 27 blok pembangkang dianggap ‘goyah’ selepas kematian bekas Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian.
Keyakinan itu juga dilihat daripada faktor kemenangan besar BN pada PRN Melaka, November lalu yang menguasai majoriti 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus menyakinkan parti itu bahawa sokongan rakyat sudah berubah berbanding semasa PRU-14.
Ketika ditanya sama ada UMNO yakin menang majoriti seperti PRN Melaka, Ahmad Zahid secara ringkas menjelaskan, sudah tentu rakyat mahu keputusan yang lebih baik berbanding PRU-14.
“Tahap keyakinan mesti berdasarkan sains dan data dahulu, sebelum bubar kami tidak boleh menyatakan keyakinan atau sebaliknya tetapi tentu rakyat mahu keputusan lebih baik dari PRU-14,” katanya. – UTUSAN ONLINE