PETALING JAYA: Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad campur tangan dalam kemelut institusi kehakiman syariah di negara ini.
Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Idris sebagai sebagai menteri bertanggungjawab kepada Jabatan Kehakiman Syariah perlu menyelesaikan isu itu agar institusi terbabit tidak mengalami defisit kepercayaan dalam kalangan orang awam.
Beliau berkata, semua pihak yang terlibat turut diseru supaya tidak menggunakan media bagi menegakkan pendirian, sebaliknya kembali ke meja rundingan untuk berbincang demi memelihara integriti, kewibawaan dan maruah mahkamah syariah.
“Polemik berbalas kenyataan di media ini telah menyerlahkan perpecahan dalam kalangan kepimpinan tertinggi syariah di Malaysia. Memburukkan lagi keadaan apabila persepsi masyarakat terhadap institusi ini dengan isu hakim kanannya yang belum diselesaikan. Malah peguam masing-masing juga berbalas kenyataan.
“Justeru PPMM memandang serius permasalahan ini dan demi mengembalikan nama baik institusi ini, adalah wajar permasalahan ini diselesaikan secara baik mengikut ajaran Islam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan akhbar yang dibuat beberapa pihak termasuk Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) berhubung isu hakim kanan yang sebelum ini disiasat selepas didakwa melakukan gangguan seksual terhadap wanita sudah berkahwin pada tahun 2020.
Menurut Zainul lagi, kenyataan PPSM pada 14/1/2022 pada awalnya meminta masyarakat bertenang, sabar menunggu siasatan dan tindakan pihak berkuasa menangani isu tersebut.
Namun kenyataan itu disusuli dengan pendirian PPSM sendiri yang hilang kepercayaan terhadap hakim kanan tersebut berkaitan kepimpinan dan penyalahgunaan kuasa serta cadangan agar Jabatan Perdana Menteri atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merehatkan sementara khidmat hakim kanan tersebut.
“Kenyataan tersebut bagaimanapun telah dinafikan oleh Timbalan Presiden PPSM yang menyatakan bahawa kenyataan Presiden PPSM itu tidak dikeluarkan secara kolektif.
“Malah beliau dan ahli-ahli PPSM yang lain berdiri teguh di belakang hakim kanan tersebut. Amat mengejutkan kemudiannya, Timbalan Presiden PPSM tersebut dilaporkan memohon maaf dan mendakwa terpaksa berbuat demikian kerana diarahkan oleh pihak atasan tertentu,” ujarnya.
Jelas Zainul RIjal, apabila sesuatu agensi menjadikan media sosial dan media utama sebagai alat untuk meluahkan permasalahan dalaman mereka, integriti agensi tersebut akan mula dipertikaikan. – UTUSAN ONLINE