LUMUT: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 2,442 botol arak bernilai lebih RM700,000 serta 500 karton rokok bernilai RM75,000 yang diseludup, dalam dua operasi berasingan kelmarin dan semalam.
Dalam Op Kontraban semalam, PPM Wilayah 1 Kampung Acheh di sini, mengesan aktiviti pemunggahan kotak berisi botol arak dari sebuah bot ke dalam lori di kawasan tepi pantai Tanjung Batu, Segari dekat sini, kira-kira pukul 2.30 pagi.
Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, menyedari kehadiran polis, pemandu bot melarikan diri tetapi bot ronda PPM berjaya memintas bot penyeludup tersebut ketika berada di perairan Sungai Sempit, Segari, kira-kira pukul 2.45 pagi.
“Tiga lelaki dalam bot tersebut iaitu dua lelaki tempatan serta seorang warga Bangladesh yang mana semuanya berusia antara 45 hingga 48 tahun, ditahan. Pemandu lori berusia 58 tahun turut ditahan. Nilai keseluruhan rampasan termasuk lori seberat lima tan jenama Daihatsu Delta, sebuah bot berserta dua buah enjin Yamaha 250 kuasa kuda kuda (HP) setiap satu, dan peralatan navigasi dalam bot dengan keseluruhan rampasan bernilai sebanyak RM1.1 juta, dan arak yang ditemukan itu adalah untuk dijual di pasaran tempatan.
“Keempat-empat lelaki beserta barang-barang rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kampung Acheh bagi tujuan dokumentasi. Mereka kemudiannya diserahkan ke Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.
Bagi kes kedua pula, PPM merampas keseluruhan sebanyak 500 karton rokok putih tanpa cukai Kastam menerusi Op Kontraban di Beruas, kelmarin dan bertindak di atas maklumat risikan, sepasukan Unit Risikan Pasukan Polis Marin, Kg. Acheh, Perak membuat pemeriksaan di dalam sebuah rumah di Beruas kira-kira pukul 6.30 petang.
Beliau menjelaskan, semua suspek direman selama lima hari bermula semalam sehingga Isnin ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 manakala rampasan serta tangkapan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk tindakan selanjutnya.