KUANTAN: Sepasang suami isteri antara empat individu ditahan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang kerana disyaki terlibat sindiket pengedaran dadah dalam dua tangkapan berasingan di Temerloh.
Ekoran penahanan kesemua suspek berusia antara 35 hingga 41 tahun itu, polis merampas 6.4 kilogram dadah termasuk heroin, syabu dan erimin (100 biji) bernilai RM402,411 dan nilai sitaan harta berjumlah RM389,647.50 termasuk barang kemas pelbagai bentuk dan dua buah kenderaan iaitu pacuan empat roda jenis Hilux serta motosikal.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan awal mendapati, suspek mendapat bekalan dadah dari Lembah Klang untuk diedarkan kepada kira-kira 12,724 penagih di seluruh kawasan Felda sekitar Temerloh.
Menurutnya, D
“Serbuan pertama dilakukan pada 2 Januari lalu sekitar pukul 8 malam, bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Temerloh menahan seorang lelaki dan wanita yang ketika itu berada dalam bilik sewa di Jalan Dahlia 5, Taman Dahlia, dekat Temerloh.
“Polis berjaya merampas sembilan paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki heroin dan enam paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu.
“Ujian saringan awal polis terhadap kedua-dua suspek mendapati positif dadah jenis morfin dan mereka turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, susulan daripada itu serbuan kedua dilakukan pada 3 Januari lalu sekitar pukul 12.15 tengah malam di lokasi yang sama.
Katanya, dalam serbuan kedua, polis menahan sepasang suami isteri berusia 35 tahun dan 36 tahun di hadapan rumah yang sama ketika serbuan pertama dan merampas dua paket lutsinar berisi bahan dadah disyaki heroin dan satu paket lut sinar disyaki dadah jenis syabu.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati pasangan tersebut negatif namun mereka mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
“Susulan daripada penangkapan tersebut, lebih kurang pukul 5 pagi dengan dipandu arah oleh salah seorang pasangan suami isteri itu telah membawa ke sebuah rumah di Jalan Maran Batu 6, Temerloh yang merupakan tempat simpanan dadah.
“Polis berjaya membuat rampasan satu kotak tertulis Guanyinwang mengandungi dadah jenis syabu, satu beg kertas mengandungi dadah jenis syabu dan heroin, beg kain berzip dadah jenis heroin, 10 papan pil eramin, satu kotak tertulis meggi namun mengandungi dadah jenis heroin dan kotak tertulis Choclate Kingdom juga mengandungi dadah jenis syabu,” katanya.
Sementara itu, Ramli berkata, hasil serbuan ketiga polis turun menjumpai dan merampas barang kemas pelbagai bentuk bernilai sehingga RM160,000.
“Selain itu, wang tunai berjumlah RM24,000 dan senapang patah jenama Adler tanpa peluru yang mana boleh disiasat di bawah Seksyen 35 Akta Senjata Api 1960.
“Bagaimanapun, bagi kesalahan dadah keempat-empat suspek telah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan prosedur jenayah. Semua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.