JOHOR BAHRU: Polis Johor memberi tumpuan terhadap 45 kawasan berlakunya kemalangan di seluruh negeri ini sepanjang Op Selamat sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, langkah itu sebagai tindakan pencegahan bagi mengelak kemalangan berlaku dalam tempoh musim perayaan ini.
Katanya, dua fokus operasi yang dijalankan adalah meminimumkan kadar kemalangan jalan raya dan pencegahan jenayah pecah rumah sepanjang tempoh Op Selamat dari 28 Januari hingga 6 Februari ini.
Malah, bagi memastikan objektif tersebut dicapai, seramai 240 anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) digerakkan melakukan rondaan serta penguatkuasaan di kawasan berkenaan.
“Mengikut statistik, kita mengesan sebanyak 45 blackspot di negeri ini. Kita akan menggunakan pendekatan berteraskan konsep penguatkuasaan penuh, melakukan rondaan, langkah pendekatan serra kempen keselamatan bagi mengurangkan kadar kemalangan.
“Tumpuan diberikan kepada kesalahan-kesalahan yang menjurus ke arah kemalangan jalan raya seperti memandu di lorong kecemasan, memotong garisan berkembar, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat,” katanya selepas merasmikan pelancaran Op Selamat Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Kempas, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE