Polis gempur port dadah, tahan 220 individu - Utusan Malaysia

Polis gempur port dadah, tahan 220 individu

KETUA Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat (kanan) melihat sebahagian penagih dadah yang berjaya di tangkap dalam operasi di Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki pura-pura pengsan dan seorang lagi menyorok di belakang rumah bagi mengelakkan diri dari dicekup polis yang membuat serbuan Op Tapis di Kampung Pandan dekat sini, pagi tadi. 

Dalam operasi yang dijalankan sejak pukul 3 pagi itu, seramai 220 individu termasuk tiga lelaki warganegara asing dicekup polis susulan serbuan Op Tapis yang dibuat di sarang penagihan dadah di Kampung Pandan, di sini pagi ini. 

Ketua Polis, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua yang ditahan itu berusia lingkungan 21 hingga 45 tahun dalam serbuan yang dijalankan.

Beliau berkata, kampung tersebut merupakan salah satu daripada titik panas (hotspot) sarang penagihan dadah di negeri ini sejak dahulu lagi.

“Tujuan operasi ini dijalankan bagi membersihkan kawasan penempatan ini daripada menjadi tempat penagih dan pengedar dadah ini berkumpul.

“Hasil siasatan juga mendapati sarang penagihan dadah ini menjadi lokasi pengedaran dadah secara kecil-kecilan dalam kalangan mereka.

“Justeru, Polis Johor akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) mencari jalan penyelesaian bagi membanteras kegiatan dadah di kawasan ini. Jika tidak menggembleng tenaga, tidak ada kesudahannya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Op Tapis di Kampung Pandan, di sini hari ini.   

Kamarul Zaman berkata, kesemua yang ditahan itu didapati melakukan pelbagai kesalahan dibawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

Tambahnya, Op Tapis itu dijalankan di seluruh kontinjen Johor melibatkan 38 pegawai dan 292 anggota yang membuat serbuan di lokasi panas di seluruh negeri ini. 

Katanya, dipercayai terdapat 12 kawasan titik panas sarang penagihan dadah di negeri ini manakala kegiatan itu juga dilihat berpindah randah bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

“Kita masih menjalankan siasatan bagi mengesan sumber pengedar dadah ini memperolehi bekalan dadah. 

“Kita juga akan bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi menyediakan rawatan pemulihan kepada mereka yang ditahan ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya