PETALING JAYA: Polis membuka dua kertas siasatan berhubung hantaran yang dimuat naik aktivis, Fahmi Reza didakwa menyunting imej seakan jata negeri Pahang dengan perkataan ‘House of Balak’ pada 3 Januari.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Pada 25 Januari (hari ini), suspek telah dipanggil ke pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/ Undang-undang (D5) JSJ bagi membantu siasatan.
“Polis menasihatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit untuk menyebarkan maklumat yang boleh mendatangkan kegentaran awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.
Semalam, media melaporkan Fahmi Reza dipanggil ke Bukit Aman untuk disiasat berhubung karya yang dimuat naik ke media sosial awal tahun ini.
Beliau memaklumkan perkara itu melalui laman Twitter miliknya. – UTUSAN ONLINE