Pinjaman tanpa cagar Genting Hong Kong bukan luar biasa - Tengku Zafrul - Utusan Malaysia

Pinjaman tanpa cagar Genting Hong Kong bukan luar biasa – Tengku Zafrul

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan bahawa isu pinjaman tanpa cagaran bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam sektor perbankan. 

Beliau berkata, bank-bank boleh meluluskan pinjaman tanpa cagaran berdasarkan kesanggupan bank tersebut mengambil risiko pada peringkat dalaman (risk appetite), penilaian kredit yang memenuhi kriteria dan kelulusan berdasarkan proses tadbir urus dalaman. 

“Dalam kes Genting Hong Kong, pinjaman telah diluluskan sebelum pandemik Covid- 19 melanda. Genting Hong Kong ini adalah syarikat dalam sektor percutian  termasuklah pelancongan. 

“Tetapi apabila Covid-19 melanda, banyak syarikat yang bergantung kepada pelancongan terjejas. Ini sudah tentu sesuatu yang tidak dapat dijangka semasa pinjaman diluluskan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu tiga bank Malaysia yang dinamakan sebagai antara ketua pemiutang tidak bercagar Genting Hong Kong, dengan gabungan pendedahan sebanyak AS$600 juta (RM2.5 bilion). 

Susulan isu itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak Tengku Zafrul menjelaskan mengapa tiga bank itu dibenar memberi pinjaman tanpa jaminan kepada Genting Hong Kong yang diisytihar muflis, baru-baru ini.

Menurut Tengku Zafrul, harus diingat bahawa bukan sahaja bank tempatan yang memberikan pinjaman tanpa cagaran kepada Genting Hong Kong, malah turut melibatkan bank-bank dari luar negara. 

Katanya, semua bank-bank ini juga turut perlu mematuhi garis panduan dalaman serta garis panduan bank pusat masing-masing sebelum memberikan pinjaman. 

“Adakah Datuk Seri ingin memberi gambaran bahawa semua bank- bank dari luar negara ini juga telah bertindak sembrono dalam memberikan pinjaman kepada Genting Hong Kong?,” soalnya. 

Mengulas mengenai peranan Menteri Kewangan dalam proses kelulusan pinjaman, beliau menjelaskan, hakikatnya adalah keputusan untuk memberi pinjaman bukan ditentukan oleh Menteri Kewangan, Kementerian Kewangan atau pemegang saham tetapi oleh bank-bank itu sendiri. 

Katanya, setiap bank mempunyai proses usaha wajar (due diligence) dan penilaian kredit oleh Jawatankuasa Kredit masing-masing bagi menilai keupayaan bakal peminjam untuk membayar balik pinjaman mereka. 

“Dari segi dasar, Bank Negara Malaysia telah menetapkan garis panduan yang perlu dipatuhi, dan selagi bank-bank ini mematuhi garis panduan yang ditetapkan, mereka bebas untuk memberi pinjaman mengikut budi bicara mereka,” jelasnya.   

Berhubung peranan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai pemegang saham di dalam bank yang terlibat, Tengku Zafrul berkata, dalam hal itu, pemegang saham tidak terlibat di dalam operasi harian sesuatu syarikat kerana operasi harian bank diserahkan kepada pengurusan bank itu sendiri. 

“Jika Menteri Kewangan atau pemegang saham campur tangan di dalam urusan harian bank-bank di Malaysia, jelas sekali ini tidak betul dari sudut governans dan tadbir urus. 

“Saya yakin, sebagai seorang bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar juga sedia maklum tentang perbezaan antara peranan ahli lembaga pengarah dan pengurusan syarikat,” katanya. 

Mengulas lanjut, berhubung isu pinjaman diberi kepada syarikat perjudian seperti Kumpulan Genting, Menteri Kewangan itu menjelaskan, masyarakat Malaysia merangkumi pelbagai kaum, dengan sektor perbankan Islam Malaysia amat progresif itu membolehkan perbezaan di antara aset-aset syariah dan konvensional. 

“Jadi, kalau isu ini benar-benar penting, mengapa semasa Datuk Seri (Anwar) menjadi Menteri Kewangan, tiada arahan dikeluarkan kepada bank-bank tempatan supaya tidak memberi pinjaman kepada Kumpulan Genting?,” soalnya.

Beliau menambah, pengisytiharan Genting Hong Kong sebagai muflis amat dikesali, namun beliau tegaskan bahawa bank-bank yang terlibat dan sektor perbankan Malaysia secara keseluruhannya amat berdaya tahan dalam mengharungi pelbagai cabaran operasi perniagaan semasa.⠀

Katanya, ini kerana sektor perbankan sebenarnya telah mengalami banyak penambahbaikan berbanding tahun 1998 iaitu semasa Krisis Kewangan Asia dan Anwar memegang tampuk Kementerian Kewangan. 

“Nisbah pinjaman tak berbayar (non-performing loan atau NPL) pada Disember 1998 melonjak ke 18.6 peratus. Pada waktu itu juga, nisbah perlindungan kerugian pinjaman (loan loss coverage ratio atau LLC) hanya di tahap 55.9 peratus iaitu untuk setiap RM1 yang dipinjamkan, hanya hampir 60 sen diperuntukkan bagi menangani kemungkinan pinjaman tidak dibayar.⠀

“Sejak krisis itu, sistem perbankan Malaysia telah diperkukuhkan dan kini lebih berdaya tahan. Hari ini, nisbah pinjaman tak berbayar hanya 1.4 peratus, termasuklah peruntukan NPL separa bagi pinjaman oleh Genting Hong Kong. 

“LLC pula kekal kuat pada tahap 131.5 peratus berbanding 55.9 peratus pada 1998. Jadi, sistem kewangan Malaysia kekal kukuh dan tidak timbul sebarang masalah kecairan di pasaran,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN