PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyelar pihak atau parti tertentu yang disifatkannya ‘bermain banyak kolam’ dalam politik.
Tanpa menyebut mana-mana pihak, beliau menyifatkan mereka yang bermain banyak kolam itu bergantung kepada air yang diumpamakan seperti kuasa.
“Bagi yang suka bermain di banyak kolam sepatutnya kenal apa itu berudu. Hidup berudu terlalu bergantung kepada air kerana banyak makanan di situ. Air itu seperti kuasa.
“Kolam kering berudu mati. Berudu dalam masa beberapa minggu tumbuh kaki dan menjadi katak.
“Katak akan terus melompat dan mencari air untuk melahirkan lebih banyak berudu. Mungkin anak-anak orang bandar sahaja tak kenal apa itu berudu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, istilah bermain kolam itu dipercayai merujuk kepada Pas yang dilihat bermain dua kolam sebelum ini dengan menyertai gabungan Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional.
Malah, beberapa pemimpin Pas sebelum ini juga pernah melaporkan bahawa parti itu sanggup bermain sehingga 10 kolam demi perpaduan ummah dan memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak berkuasa kembali. – UTUSAN