PHEB rayu SOP perayaan Thaipusam dinilai semula  - Utusan Malaysia

PHEB rayu SOP perayaan Thaipusam dinilai semula 

P. RAMASAMY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (PHEB) akan mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menilai semula beberapa prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perayaan Thaipusam yang diumumkan Rabu lalu. 

Pengerusi PHEB, Dr. P. Ramasamy berkata, rayuan itu termasuk berkenaan had umur penganut yang boleh memasuki kuil, jumlah pengiring pedati, jumlah penganut yang boleh berada di kawasan kuil sehingga ke kuil Puncak Bukit (Hilltop Temple) dan masa operasi kuil ketika perayaan. 

Menurut beliau, rayuan berkenaan dihantar hari ini kepada MKN ekoran masa semakin suntuk untuk pihak pengurusan kuil dan penganut melakukan persediaan bagi perayaan Thaipusam. 

“Ada perbezaan dengan apa yang kita mohon sebelum ini dengan apa yang dikeluarkan oleh MKN, namun kita tetap patuh dengan SOP ini sekiranya permohonan ditolak. Kita cuba merayu dan mengemukakan rayuan kepada MKN supaya menilai semula SOP yang dikeluarkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Sebelum ini, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique mengumumkan SOP sambutan perayaan itu yang antaranya menetapkan hanya upacara ‘paal koodam’ atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang dan perjalanan pedati dibenarkan pada Thaipusam kali ini. 

Mengulas lanjut Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II berkata, bagi jumlah pengiring pedati, pihaknya memohon supaya kira-kira 500 penganut dibenarkan berbanding hanya 100 pengiring yang ditetapkan MKN. 

“Kita juga meminta supaya tempoh masa operasi kuil dilanjutkan iaitu dari pukul 5 pagi pada 17 Januari hingga 11 malam pada 18 Januari. Selain itu, kita memohon supaya 3,000 penganut secara bergilir-gilir dibenarkan berada di kawasan kuil Puncak Bukit dalam tempoh 30 minit berbanding hanya 250 orang yang dibenarkan MKN,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya