IPOH: Seramai 60 petugas media di negeri ini menerima suntikan dos penggalak Covid-19 dengan kerjasama hospital swasta, Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) di sini.
Program itu dilaksanakan selama tiga hari dengan 20 petugas media menjadi kumpulan pertama yang menerima vaksin penggalak vaksin Covid-19 di hospital itu hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PCSH, Nicholas Chan berkata, keseluruhan seramai 60 media Perak menerima suntikan vaksin Pfizer-Biontech mulai hari ini sehingga Rabu.
“Seramai 20 petugas media menerima suntikan doa penggalak Covid-19 hari ini manakala selebihnya akan menerima esok sehingga Rabu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di hospital berkenaan mampu memberi 400 hingga 500 suntikan dos penggalak sehari.
Beliau berkata, sambutan untuk dos itu semakin menggalakkan selepas kerajaan mengumumkan penerima vaksin Pfizer dan Astrazaneca boleh mengambil dos penggalak selepas tiga bulan menerima suntikan vaksin dos kedua.
“Permintaan bagi dos penggalak mula meningkat selepas kes jangkitan Covid-19 mencatat peningkatan serta kemunculan varian Omicron,” katanya.
Katanya, PPV PCSH mula mengagihkan suntikan dos penggalak pada penghujung November lalu dan dibuka setiap hari.
“PPV PCSH dibuka dari pukul 9 pagi sehingga 4 petang, bergantung kepada kapasiti penerima vaksin yang hadir,” katanya. – UTUSAN ONLINE