PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan 0.9 peratus bersamaan 34 kes daripada 3,684 kes positif harian Covid-19 hari ini, melibatkan kategori tiga, empat dan lima sekali gus merekodkan penurunan berbanding semalam, 1.2 peratus.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bakinya, 3,650 kes (99.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan kembali mencatatkan di bawah 100 kes apabila merekodkan 92 kes berbanding semalam, 105 kes.
“Pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) pula terus mencatatkan penurunan apabila merekodkan 192 kes berbanding semalam, 215 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 3,684 kes positif menunjukkan peningkatan berbanding semalam, 3,198 kes sekali gus mengatasi kes sembuh yang mencatatkan 3,292 kes. – UTUSAN ONLINE