KANGAR: Macam-macam ada di Persiaran Makanan Bintong di Jalan Raja Syed Saffi di sini yang dianggap ‘syurga makanan’ sebagai tarikan baharu pelancongan negeri ini.
Sepanjang 1.1 kilometer termasuk Jalan Kurong Batang di sini, kiri dan kanan jalannya menempatkan kira-kira 72 kedai atau restoran yang menyediakan pelbagai jenis makanan.
Istimewanya, sepanjang laluan tersebut dihiasi dengan keindahan kilauan lampu berwarna-warni yang menceriakan suasana malam di kawasan berkenaan.
Persiaran Makanan Bintong dilancarkan Sabtu lalu oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik restoran Tok Mek Budget Station, Syazwan Asri, 28, berkata, usaha kerajaan negeri menjadikan laluan tersebut sebagai salah satu lokasi tarikan pelancong menjamu selera adalah sesuatu yang amat positif dan dapat meningkatkan lagi ekonomi peniaga di kawasan tersebut.
Katanya, sejak kerajaan negeri mula menguar-uarkan mengenai Persiaran Makanan Bintong sebelum ini, jualan di restorannya telah meningkat lebih sekali ganda.
“Kalau dulu dalam satu malam, jualan kami adalah sekitar RM1,000 sahaja, tetapi sejak dua bulan lalu telah meningkat sehingga kira-kira RM2,500 satu malam. Malah, pekerja yang membakar sate tak henti-henti membakar sate dari pukul 4 petang hingga 10 malam kerana pelanggan yang datang tidak putus-putus.
“Pelancong-pelancong luar yang tiba dari Langkawi atau mahu ke Langkawi juga singgah di persiaran ini untuk menikmati pelbagai jenis makanan yang ada,” katanya.
Pemilik Habuan Cafe, Md Yusof Mohd, 62, pula berkata, suasana di sekitar jalan tersebut lebih ceria dan meriah dengan keindahan lampu serta kedai yang berwarna-warni.
“Persekitaran sangat cantik dan kerajaan negeri memberi peruntukan untuk kami cat sendiri kedai sebelum ini agar kelihatan lebih ceria. Kami juga akan sentiasa menjaga kebersihan agar lokasi ini sentiasa cantik bagi menarik kedatangan pelancong,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, pemasangan lampu dan usaha menceriakan kedai makan di kawasan berkenan diharap dapat menarik lebih ramai pelanggan ke situ.
“Saya juga berharap pemilik restoran sentiasa menaik taraf restoran masing-masing serta menitikberatkan aspek kebersihan di premis masing-masing. Sila pastikan peralatan dan premis sentiasa berada dalam keadaan bersih,” katanya.